أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah,
Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad
S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda
hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati
Allah,
Di dalam kehidupan kita
seharian ada perkara yang perlu kita segerakan untuk dilaksanakan dan ada pula
perkara yang perlu dijauhi dan ditinggalkan. Setiap perkara yang ditegah atau
dilarang sebenarnya terdapat beberapa hikmah dan kebaikan samaada berbentuk
luaran (fizikal) atau dalaman (hati dan jiwa)
Pertama : Jangan sengaja
lewatkan solat. Perbuatan ini tidak disukai Allah SWT. Kalau tertidur akan
dimaafkan.
Rasulullah SAW bersabda
maksudnya:
“Yang membezakan (seorang
itu mukmin) dan kufur serta syirik adalah meninggalkan solat”. (Hadis Riwayat
Muslim)
Firman Allah SWT
فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ الَّذِينَ
هُمْ عَنْ صَلاتِهِمْ سَاهُونَ
Maksudnya: “Kecelakaanlah
bagi orang yang solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya.” (Surah
Al-Ma’un ayat 4-5).
Kedua : Jangan masuk ke
tandas atau bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar). Takut kalau-kalau
terbawa keluar najis, mengotori seluruh rumah kita.
Perlu biasakan memakai
selipar atau terompak bila masuk ketandas atau bilik air untuk menjaga
kebersihan kaki kita setelah mandi dan mengambil wuduk, supaya najis
tidak dibawa keluar bilik air.
Ketiga : Jangan makan dan
minum dalam bekas yang pecah atau sumbing. Makruh kerana ia membahayakan. Dan
jangan bernafas dalam minuman atau meniup kedalam minuman.
Di dalam kitab Sunan Abi
Daud diriwayatkan hadis dari Abu Said Al-Khudri bahawa ia mengkhabarkan :
“Rasulullah Sallalahu
‘Alaihi Wasalam melarang minum dari bahagian cawan yang pecah dan melarang
untuk bernafas dalam air minum.”
Jika cawan atau pingan kita
retak , pecah atau sumbing hendaklah dibuangkan sahaja jangan digunakan lagi.
Ini termasuk etika yang
diajarkan untuk kemaslahatan orang yang minum, sebab minum melalui bahagian
cawan yang sumbing boleh menyebabkan beberapa bahaya:
Kotoran yang biasanya ada
dipermukaan air, akan berkumpul di bahagian cawan yang sumbinng, lain halnya
bahagian tepi cawan yang masih utuh.
1. Ia boleh
mengganggu ketika minum. Minum melalui bahagian cawan yang sumbing atau pecah
tidak boleh dilakukan dengan baik.
2. Kotoran dan seumpamanya
biasa terhimpun di bahagian cawan yang pecah, kerana tidak ikut dibersihkan
ketika dicuci, tidak sebagaimana cawan yang masih baik.
3. Bahagian yang sumbing
adalah bahagian yang buruk pada cawan, iaitu bahagian yang paling tidak bagus
hingga mesti dielakkan, lebih baik dicari bahagian yang masih baik, sebab
bahagian yang buruk dari segala sesuatu pasti tidak ada baiknya.
4. Boleh jadi bahagian yang
pecah itu mempunyai belahan atau bahagian yang runcing yang boleh melukai mulut
orang yang minum melalui bahagian tersebut.
Adapun bernafas dalam air
minum, risikonya adalah menimbulkan bau busuk pada air minum yang tidak disukai
orang lain, terutama sekali orang yang bau mulutnya mengalami perubahan buruk.
Pada dasarnya, secara umum nafas orang yang minum akan bercampur ke dalam air
tersebut.
Justeru, Rasulullah Sallahu
‘Alaihi Wasalam menggabungkan antara larangan meniup air dan larangan bernafas
dalam air dalam hadis At-Tirmizi dan dinyatakan sahih oleh beliau, dari Ibnu Abbas
bahawa ia mengkhabarkan :
“Rasulullah melarang meniup
air dan bernafas dalam air minum.”
Keempat : Jangan biarkan
pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh. Makruh dan mewarisi
kepapaan. Pastikan semua pingan mangkuk, periuk belanga, cawan dan bekas
makanan dicuci sebaik sahaja selesai digunakan. Sisi-sisi makanan yang
dibiarkan didalam bekas makanan bermalaman tanpa dibersihkan adalah
menjadi habuan syaitan , kerana syaitan suka kepada makanan yang kotor dan
busuk.
Islam menggalakkan kebersihan
dan benci pada sifat pengotor dan menjauhkan diri daripada perkara yang boleh
mendatangkan penyakit.
Dari ‘Amr bin Syu’aib :
‘Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah itu
mencintai kalau melihat bekas kenikmatan-Nya atas hamba-Nya itu, dengan jalan
menunjukkan keindahan dan kesempurnaannya dalam berpakaian, makan,
berumahtangga dan lain-lain.” (Hadis Riwayat Imam Tirdmizi dan ia mengatakan
bahawa ini adalah hadis Hassan.)
Kelima : Jangan tidur
selepas solat Subuh, nanti rezeki mahal (kerana berpagi-pagi itu membuka pintu
rezeki dan keberkatan).
Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu
Abbas) telah melihat anaknya tidur pada waktu Subuh. Maka dikatakan kepada
anaknya, “Bangun! Apakah kamu tidur pada waktu rezeki dibahagi-bahagikan?”
Rasulullah SAW tidak tidur
selepas menunaikan solat Subuh kerana Allah memberkati umat ini yang
berpagi-pagi, seperti satu hadis yang berbunyi:
‘اللهم بارك لأمتي في بكورها’
(Ya Allah, berkatilah
umatku yang berpagi-pagi).
Untuk itu, para fuqaha’
memakruhkan tidur selepas solat Subuh.
Telah thabit dari Nabi SAW
bahawasanya baginda berdoa kepada Allah supaya memberkati umatnya yang
berpagi-pagi, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ashab as-Sunan yg empat dan
Ibn Hibban dalam Sahihnya, Nabi melewati anaknya Fatimah r.ha yang sedang
berbaring pada waktu Subuh, maka baginda bersabda:
يا بنية قومي اشهدي رزق ربك،
ولا تكوني من الغافلين، فإن الله يقسم أرزاق الناس ما بين طلوع الفجر إلى طلوع الشمس
‘
“Wahai anakku, bangunlah
dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang
lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar
hingga terbit matahari.” (Hadis Diriwayatkan al-Baihaqi)
Berkata Nabi di dalam hadis
yang diriwayatkan oleh at-Tabarani di dalam al-Awsath:
باكروا الغدو -أي الصباح- في
طلب الرزق، فإن الغدو بركة ونجاح’
“Berpagi-pagilah (subuh)
dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah berkat dan
kejayaan.”
Oleh itu para fuqaha’
menetapkan kemakruhan tidur selepas solat Subuh, dan dinukilkan oleh Imam
as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat Subuh dan Asar.
Keenam : Jangan makan tanpa
membaca BISMILLAH dan doa makan. Nanti rezeki kita di kongsi syaitan.
Dari ‘Amr bin Abu Salamah
radhiallahu ‘anhuma, katanya:
“Rasulullah SAW
bersabda kepadaku: “Ucapkanlah Bismillah dan makanlah dengan tangan
kananmu serta makanlah dari makanan yang ada di dekatmu.” (Muttafaq ‘alaih)
Dari Umayyah bin Makhsyi
as-Shahabi r.a., katanya:
“Rasulullah SAW (pada suatu
ketika) duduk di situ ada seorang lelaki yang makan lalu tidak mengucapkan
Bismillah, sehingga makanannya tidak tertinggal melainkan sesuap saja. Setelah
orang itu mengangkatkan sesuatu yang tertinggal tadi di mulutnya, tiba-tiba dia
mengucapkan: ‘Bismillahi awwalahu wa akhirahu.’ Kemudian Nabi SAW. ketawa lalu
bersabda: “Tidak henti-hentinya syaitan tadi makan bersama orang itu. Tetapi
setelah dia ingat untuk mengucapkan nama Allah (yakni setelah membaca
Bismillah), maka syaitan tadi memuntahkan seluruh makanan yang telah ada dalam
perutnya. (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Nasa’i)
Ketujuh : Jangan keluar
rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan. Takut-takut kita mati dalam perjalanan
dengan niat yang tidak baik.
Membaca doa bila hendak
keluar daripada rumah.
“Bismillahi tawakaltu
‘alallahi laa haula walaa quwwata illa billah”
maksudnya: “Dengan nama
Allah, aku berserah diri kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan selain dari
Allah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzy dan Nasai)
Sunnah berikutnya adalah
mendahulukan kaki kiri ketika keluar rumah, serta memberi salam kepada
keluarga. Sebelum keluar rumah hendaknya menentukan niat dan tujuan, serta
memastikan barang bawaan tidak ada yang tertinggal.
Kelapan : Jangan pakai
sepatu atau selipar yang berlainan pasangan atau pun memakai sebelah sahaja.
Nabi SAW bersabda maksudnya
:
“Jika engkau memakai
kasutmu, mulailah dengan kaki kanan. Jika engkau menanggalkan kasutmu,
mulailah dengan kaki kiri. Hendaknya sebelah kanan mula memakai kasut dan
sebelah kiri mula menanggalkan kasut. Dan jangan berjalan dengan sebelah kasut.
Tanggalkan kedua-duanya atau pakai kedua-duanya” (Silsilah as-Shahihah Albani)
Kesembilan : Jangan biarkan
mata liar di perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.
Allah Subhanahu Wa Taala
berfirman maksudnya :
” Katakanlah kepada
orang-orang beriman lelaki agar mereka menundukkan pandangan mata ( terhadap
wanita ), dan memelihara akan kemaluan mereka ( menutupya ). Yang demikian itu
lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang mereka
kerjakan. Dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan
pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan
perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya.”( Surah An-Nur ayat 30-31 )
Kesepuluh : Jangan bergaul
bebas ditempat kerja. Banyak buruk dari baiknya.
Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa yang beriman
kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan
seorang perempuan tanpa disertai mahramnya kerana sesungguhnya yang ketiga itu
tentulah syaitan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)
Kesebelas : Jangan
menangguh taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila masa.
Rasulullah SAW pernah
menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah :
“Wahai sekelian manusia,
bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu mati. Gunakanlah kesempatan yang
ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa kamu dipenuhi oleh urusan dan
kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu dengan-Nya, memperbanyakan
mengingati-Nya (zikrullah).”
Justeru itu bertaubat dan
memohon keampunan daripada Allah SWT perlulah dibuat secara berterusan tanpa
henti.Taubat haruslah di perbaharui dari masa ke masa. Ini kerana, setiap insan
tidak mungkin terlepas dari dosa, samaada besar atau kecil, dosa batin atau
lahir, dosa yang diketahui atau tidak atau lalai dalam menunaikan hak Allah dan
manusia lainnya. Bahkan dosa kerana tidak menambah ilmu pengetahuan dalam agama
dan sebagainya juga tidak terkecuali.
Kedua belas : Jangan ego
(sombong) untuk meminta maaf pada ibu bapa dan sesama manusia kalau
memang kita bersalah.
Sifat orang mukmin akan
sentiasa meminta maaf dan merendahkan diri terhadap kedua ibu bapanya. Sentiasa
memberi khidmat terbaik terutama apabila mereka menjangkau usia tua yang uzur.
Begitu juga sifat orang mukmin yang suka meminta maaf kepada siapa sahaja orang
lain yang dirasakan bersalah .
Di dalam surah al-Israk,
firman Allah yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu telah
perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan
hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari
keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan
peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan
kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah
mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan
santun).” (Surah al-Israk ayat 23)
Dari Abu Hurairah r.a.
bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :
“Sesiapa yang menanggung
sesuatu kezaliman yang dilakukan terhadap orang lain, sama ada yang mengenai
maruah dan kehormatan atau sebarang perkara yang lain, maka dari sekarang juga
hendaklah ia meminta orang itu melepaskannya dengan jalan memaafkan atau
menghalalkannya sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau
emas perak untuk membayarnya; bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal
soleh, akan diambil daripada amalnya itu sekadar perbuatan aniaya yang
dilakukannya untuk diberi kepada orang itu; kalau ia pula tidak mempunyai amal
soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan
itu ke atasnya.”(Hadis Riwayat Bukhari)
Ketiga belas : Jangan
mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak persahabatan kita hilang bahagia.
Dari Abu Hurairah r.a
menceritakan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud,
” Tahukah kamu apakah
ghaibah? Jawab sahabat, “Allah dan Rasul yang lebih mengetahui. ” Maka
Rasulullah SAW. bersabda maksudnya , “Ghaibah itu jika kamu menyebut
(membicarakan) hal keadaan saudaramu yang tidak suka hal itu disebut atau
dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghaibah.” Lalu Rasulullah SAW
ditanya,” Bagaimana kalau saudaraku itu memang begitu? “Jawab Rasulullah SAW ”
Jika kamu sebut itu benar ada padanya maka itu ghaibah. Tetapi jika ia tidak
benar, itu buhtan (membuat kepalsuan untuk memburukkan nama orang lain).
Keempat belas : Jangan lupa
bergantung kepada ALLAH dalam setiap kerja kita. Nanti kita sombong apabila
berjaya. Kalau gagal kecewa pula.
Allah SWT berfirman yang
bermaksud :
“Dan (ingatlah), sesiapa
yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk
menolong dan menyelamatkannya).” (Surah al-Thalaq ayat 3).
Kelima belas : Jangan
bakhil untuk bersedekah. Sedekah boleh memadamkan kemurkaan Allah SWT dan kematian
yang buruk.
Rasulullah SAW bersabda:
“Si pemurah yang jahil
lebih dicintai Allah daripada ahli ibadah yang bakhil.” (Hadis Riwayat Al
Khatib)
Sabda Rasulullah SAW. yang
bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan
memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul
khatimah).” (Hadis Riwayat al-Turmuzi)
Dari Abu Hurairah r.a,
bahwa sesungguhnya Rasulullah SAW, telah bersabda :
“Apabila mati anak adam
maka terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang
dimanafaatkan dan anak yang soleh yang mendoakannya untuknya.”(Hadis Riwayat
Bukhari).
Nabi SAW bersabda maksudnya
:
“ Sesiapa yang sanggup
diantara kamu menjaga dirinya daripada api neraka hendaklah ia bersedekah walau
hanya dengan sebiji kurma, dan sesiapa yang tidak mempunyai apa-apa hendaklah
ia mengucapkan perkataan yang baik.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)
Keenam belas : Jangan
banyak ketawa. Nanti mati jiwa.
Suatu ketika, Rasulullah
SAW berjalan di depan sekumpulan orang yang sedang ketawa, lalu baginda
bersabda yang bermaksud:
“Demi Tuhan yang jiwaku ini
berada dalam genggaman-Nya. Jika kamu semua tahu apa yang aku tahu, nescaya
kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Abu
Hurairah).
Dalam hadis lain,
Rasulullah SAW mengingatkan kita banyak ketawa dengan sabda baginda yang
bermaksud:
“Terlalu banyak ketawa itu
boleh menghilangkan cahaya daripada wajah kita.”
Ketujuh belas : Jangan
biasakan berbohong, kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih
orang kepada kita.
Rasulullah S.A.W.
bersabda kepada Sayyidina Ali k.w. yang bermaksud :
“Wahai Ali ! Berbuatlah
jujur sekalipun hal itu akan membahayakan dirimu didunia. Sesungguhnya
kejujuran itu bermanfaat di kemudian hari. Dan janganlah berdusta sekalipun
bermanfaat bagimu ketika itu kerana kedustaan itu akan menyulitkan kamu di
kemudian hari.”
Nabi S.A.W. bersabda
maksudnya :
“Empat perkara, siapa yang
terdapat padanya empat perkara ini, maka ia adalah munafik tulin, dan siapa
yang terdapat padanya salah satu darinya, maka padanya ada satu ciri
kemunafikan; apabila diberi amanah ia berkhianat, apabila bercerita ia
berdusta, apabila membuat janji ia mungkiri dan apabila berdebat ia
curang.” (Hadis Riwayat Bukhari no. 34, 2459, 3178 dan Muslim no. 2635.
dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a.)
Kelapan belas : Jangan suka
menganiaya manusia atau haiwan. Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan
Allah SWT.
Ingatlah bahawa doa orang
yang dizalimi di fitnah sungguh mustajab di sisi Allah S.W.T.
Nabi S.A.W. bersabda
maksudnya :
“Hendaklah kamu waspada
terhadap doa orang yang dizalimi sekalipun dia adalah orang kafir. Maka
sesungguhnya tidak ada penghalang diantaranya untuk diterima oleh Allah.”(Hadis
riwayat Ahmad – sanad hasan)
Dari Ibnu Umar r.a,
Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :
“Hendaklah kamu waspada
terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas
seumpama api marak ke udara.”(Hadis riwayat Hakim – sanad sahih)
Kesembilan belas : Jangan
terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan hidup di
sana lebih lama dan kekal selamanya.
Ingatlah! Dunia tempat
menanam, akhirat tempat menuai. Waktu menuai memanglah susah, tidak semudah
waktu menuai. Tetapi tanpa melalui kesusahan, kita tidak akan dapat menikmati
kesenangan. Jangan sekali-kali mengikut ajakan syaitan dan godaan nafsu
menyuruh berbuat jahat dan kemungkaran., anggaplah kesukaran di dunia adalah
bersifat sementara dan jangan sekali-kali berputus asa dengan rahmat Allah.
Allah S.W.T. berfirman yang
bermaksud :
“… dan janganlah kamu
berputus asa daripada rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak
berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang
kafir.” (Surah Yusof ayat 87).
Sabda Nabi SAW maksudnya;
“Jadilah engkau di dunia
seolah-olah orang berjalan, diwaktu petang engkau tidak menunggu pagi dan
apabila diwaktu pagi tidak menunggu petang, Perumpamaan aku dan dunia seperti
orang musafir duduk berteduh dibawah pokok kemudian bangun dan meninggalkannya.
“
Kedua puluh : Jangan
mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN. Sebab semuanya untuk
keselamatan kita. ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba ciptaanNya.
Sesungguhnya setiap perkara
yang dilarang itu ada hikmahnya begitu juga dengan perkara yang baik itu pasti
ada kemuliaannya. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berhati-hati agak tidak
melakukan kesilapan hingga terjerumus ke lambah kebinasaan.
Rasulullah SAW bersabda,
maksudnya:
“Tiga perkara yang
menyelamatkan , iaitu takut pada Allah ketika bersendirian dan di khalayak
ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah, berjimat cermat ketika susah
dan senang, dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu,
terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri.”(Hadis Riwayat Abu
Syeikh)
Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita
tinggalkan dan jauhi 20 perkara keburukan semata-maat untuk mencari keredaan
Allah SWT. Hidup di dunia adalah sementara dan akhiratlah kehidupan yang kekal
abadi. Pertingkatkanlah amal-amal soleh kita dan jauhi kemugkaran, maksiat, perkara
subhat dan makruh supaya kita menjadi mukmin yang bertakwa dan dikasihi oleh
Allah SWT.
No comments:
Post a Comment