Photo from Google
Pasti ada diantara kita pernah bersangka
atau mengalami keadaan seperti Tajuk entry Baiti kali ini. Entry kali
ini Baiti nak berkongsi pengetahuan dengan semua melalui bebrapa sumber
yang Baiti dapat iaitu dari Laman Soal Jawab Agama & Dakwah.
Entry kali ini bukan untuk menyalahkan kaum Adam, tetapi hanya sekadar
untuk berkongsi pengetahuan. Berdosa jika kita dah tahu sesuatu perkara
itu dan tidak diberitahu pada yang lain yang mungkin masih belum
mengtahuinya, betul tak? Kerana perkara seperti ini akan dilalui oleh
kita cuma caranya mungkin berbeza. Atau kita pernah buat tapi kita tidak
sedari akan perbuatan itu, dan kemudian menjadi pertanyaan kepada diri
sendiri mengenai kesalahan yang dilakukan itu adakah boleh atau tidak.
Apakah berdosa jika kita mengambil duit suami tanpa pengetahuannya?
Hukum
mengambil duit suami tanpa pengetahuannya untuk tujuan perbelanjaan
harian makan minum dan persekolahan anak-anak telah dibenarkan oleh
Rasulullah s.a.w sendiri. Ini dapat difahami daripada satu peristiwa
apabila Hindun binti Atabah isteri Abu Sufian, sahabat Rasulullah telah
datang bertanya masalah yang sama kepada Baginda. Berhubung persoalan
ini Rasulullah bersabda yang bermaksud: Ambillah apa yang dapat
menampungmu dan anak-anakmu secukupnya. (maksud hadis).
Abu
Sufian adalah seorang yang sangat kedekut dalam perbelanjaannya. Dia
tidak menyediakan perbelanjaan yang cukup untuk anak dan isterinya
sehingga isterinya terpaksa datang mengadu menceritakan kesempitan
hidupnya kepada Rasulullah. Hadis ini diceritakan oleh Aisyah, riwayat
Bukhari Muslim.
Sikap
kikir ini banyak diamalkan oleh sesetengah hartawan kita hari ini
tetapi mereka lebih bersikap dermawan di luar kerana inginkan
kemasyhuran. Perintah Rasulullah tadi menunjukkan boleh diambil duit
suami tanpa kebenarannya, sekiranya pemberian suami masih tidak dapat
memenuhi keperluan isteri serta anak-anaknya.
Pengambilan
ini tidak dibenarkan melebihi dari keperluan tetapi sekadar mencukupi
sahaja. Kalau melebihi keperluan ia adalah haram.
Daripada hadis di atas juga banyak pengajaran yang dapat kita fahami antara lain:
Pertama:
Kita boleh menceritakan tabiat buruk seseorang kepada mereka yang
berkenaan dan yang berkaitan sahaja tetapi umat Islam dilarang mengumpat
sesama saudara Muslim.
Kedua: Harus mendengar pengaduan buruk yang disampaikan untuk pengadilan dan mendapat kepastian sesuatu hukum.
Ketiga:
Boleh mengambil untuk sekadar perbelanjaan bagi sesuatu urusan yang
perlu sahaja. Sekalipun tanpa pengetahuan mereka (suami).
Pendapatan atau Harta Si Isteri.
Harta isteri adalah milik penuh isteri. Harus ia membelanjakannya
mengikut kehendaknya asalkan perbelanjaan itu bukan munkar dan maksiat
(jika tidak, harus suami menegahnya atas dasar kewajipan mencegah isteri
dan keluarga dari melakukan munkar dan maksiat, bukan atas dasar harta
itu miliknya). Begitu juga, tidak harus suami mengambil harta milik
isteri melainkan dengan kerelaan dari isteri. Sabda Nabi –sallallahu
‘alaihi wasallam; “Tidak halal harta seorang muslim yang lain melainkan
dengan kerelaan hatinya” (HR Imam ad-Daruqutni dari Anas bin Malik).
Dalam kitab Maratib al-Ijma’ ada ditegaskan; “Para ulamak telah sepakat
menegaskan bahawa tidak halal suami bersedekah dari harta milik
isterinya melainkan dengan izin isterinya” (Maratib al-Ijma’, Imam Ibnu
Hazm, 1/92).
Dalam penggunaan harta, para ulamak menegaskan bahawa, suami
tidak berhak menghalang isterinya yang berakal dan cerdik berbelanja
dari hartanya sendiri dalam perbelanjaan yang berbentuk tukaran seperti
berjual-beli, memberi upah dan sebagainya. Jika isteri tidak cerdik
(yakni ada kemungkinan ia akan ditipu dalam perbelanjaannya), haruslah
suami menghalangnya. Mereka (yakni para ulamak) hanya berikhtilaf dalam
masalah perbelanjaan yang bukan berbentuk tukaran; iaitu sedekah,
hibah/hadiah dan sebagainya (yakni adakah harus isteri memberi sedekah
atau hadiah tanpa izin suami?).
Kebanyakan ulamak (merangkumi mazhab Syafi’ie, Hanbali dan
Hanafi) berpendapat, tidak wajib isteri mendapat keizinan suaminya
terlebih dahulu untuk bersedekah dari duitnya, yakni diharuskan ia
bersedekah dari duitnya sendiri tanpa wajib memohon keizinan suaminya
terlebih dahulu atau tanpa memberitahunya. Mereka berdalilkan
–antaranya- hadis yang menceritakan; Isteri Nabi iaitu Maimunah binti
al-Harith r.a. membebaskan seorang hamba perempuannya tanpa memberitahu
Nabi s.a.w.. Apabila tiba giliran Nabi bersamanya, ia berkata kepada
Nabi; “Tidakkah kamu perasan aku telah membebaskan hamba perempuanku?”.
Nabi berkata; “Benarkah”. Maimunah menjawab; “Ya”. Nabi lalu berkata
kepadanya; “Jika kamu menghadiahkan hamba itu kepada ibu-ibu saudara
kamu nescaya pahalanya lebih besar lagi”. (HR al-Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan hadis ini, jumhur ulamak menyimpulkan; harus isteri berderma
atau berbuat kebajikan dari duitnya sendiri tanpa keizinan suaminya.
Jika perkara tersebut diharamkan tentu Nabi akan melarang isterinya
(Maimunah) dari membebaskan hamba tersebut tanpa pengetahuannya. Oleh
kerana tiada larangan dari baginda, itu menunjukkan bahawa perbuatan
Maimunah itu adalah harus di sisi Syarak
Soalan
1. Bolehkah suami menggunakan wang isterinya (dlm jumlah yg banyak)
hanya utk membayar hutang2nya dan membantu keluarganya di kg?
2. Apakah hukum isteri menyembunyikan jumlah wang simpanan dari pengetahuan suami krn dikuatiri akan diminta oleh suami?
3. Bolehkah isteri menyimpan wang secara senyap utk tujuan menunaikan haji?
Syukran jazilan atas jawapan yg diberikan
Merujuk soalan di atas;
1. Suami tidak harus mengambil wang/harta
milik isteri untuk membayar hutangnya atau untuk perbelanjaan lain
melainkan dengan kerelaan isteri. Adalah harus isteri menghalang suami
dari mengambil harta miliknya dan itu tidak dianggap nusyuz.
2. Harta
isteri adalah miliknya. Ia berhak menyembunyikannya dari diketahui oleh
orang lain –termasuk suami- apatahlagi jika ada maslahah untuk ia
berbuat demikian.
3. Menyimpan untuk mengerjakan haji tanpa diketahui suami juga harus jika wang simpanan itu datang dari milik isteri.
Apa yang dinyatakan di atas adalah dari segi keharusan. Adapun yang
sebaiknya –untuk menjaga keharmonian rumahtangga- isteri hendaklah
seboleh-bolehnya tidak membelakangi suami dalam segala hal kecuali jika
tidak dalam dapat dielakkan. Terdapat hadis memceritakan; Rasulullah
pernah ditanya; “Apakah ciri-ciri isteri terbaik?”. Baginda menjawab;
“Isteri yang menggembirakan suami apabila ia melihatnya, yang mentaati
suaminya apabila ia menyuruhnya dan ia tidak menyanggahi suaminya pada
dirinya dan hartanya” (HR Imam Ahmad, an-Nasai dan al-Hakim dari Abu
Hurairah. Menurut as-Suyuti; hadis ini soheh. Lihat; al-Jami’
as-Saghier, hadis no. 4045).
zikir pelembut hati ini agar hati suami tu lembut sikit nak beri nafkah:
“Ya Aziz Ya Jabbar Ya Mutakabbir”
Selepas membacanya beberapa kali, hembuskan ke atas ubun-ubun suami
sekira-kira suami tidak perasan. Atau isteri membacanya waktu suami
tidur nyenyak. Kalau suami terjaga, buat-buatlah cium dahinya. Selain
itu hembuskanlah di tapak tangan dan letakkan di hati (dada) suami.
Mudah-mudahan Allah lembutkan hatinya. Bila hati sudah lembut, mudahlah
dibuka kunci perhubungan atau pintu perbincangan.
Selain daripada itu amalkan doa ini: “Ya
Allah, lembutkanlah hatinya (suami) sepertimana Engkau lembutkan besi”.
Demikian doa suami kedekut yang boleh Anda amalkan.
Tahukah Anda apabila seorang suami enggan membayar nafkah untuk
penggunaan keluarga, dia sudah dikira mengabaikan tanggungjawabnya
sebagai suami dan ketua keluarga. Rasulullah SAW pernah bersabda yang
bermaksud, “Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila suami yang
mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya.” (Hadis riwayat Abu Daud
dalam Sunan Abu Daud, no. 1442)
Sumber dari Laman : PelikbinAjaib
Wallahu a'lam..
No comments:
Post a Comment